1 LATAR BELAKANG |
1.1 | Program Interaktif-Tuisyen Rakyat
1Malaysia (i-TR1M), adalah inisiatif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB)
khusus untuk membantu pelajar-pelajar dari kalangan keluarga yang
berpendapatan rendah atau yang kurang berkemampuan selaras dengan
program-program yang menjana transformasi kerajaan pada masa ini atau
pakej bantuan kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan. |
1.2 | Pelaksanaan program i-TR1M ini juga
diharapkan dapat memperkasakan lagi penggunaan NetBook 1Malaysia yang
telah diberikan kepada pelajar-pelajar terpilih kerana sebahagian besar
dari program i-TR1M dikendalikan secara online. |
1.3 | Program i-TR1M boleh dijadikan sebagai
usaha tambahan dalam memulihkan kelemahan pelajar-pelajar terpilih di
samping usaha gigih yang telah dilaksanakan oleh guru-guru mereka di
dalam kelas. Adalah diharapkan program ini boleh memberikan impak yang
besar kepada meraka dan seterusnya merapatkan jurang perbezaan
pencapaian akademik pelajar kurang berkemampuan berbanding kumpulan
pelajar yang lebih berkemampuan. |
1.4 | Program ini menjadi kenyataan apabila
pada 10 Mei 2012, YGMB mendapat amanah daripada YAB Dato’ Sri Mohd Najib
bin Tun Hj Abdul Razak dengan kelulusan Dana Khas untuk melaksanakan
program i-TR1M di Selangor sebagai projek rintis sebelum dilaksanakan ke
seluruh negara. |
|
2 KONSEP |
2.1 | Terdapat beberapa istilah yang digunakan bagi tujuan penyesuaian dengan konsep program i-TR1M iaitu:
- Guru Pembimbing - Guru yang dilantik untuk mengajar kelas bimbingan PMR dan SPM.
- Guru Penyelaras - Guru yang dilantik untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran kelas bimbingan PMR dan SPM.
- Guru Pemudahcara- Guru yang dilantik untuk mengawalselia secara online murid-murid UPSR.
- Kelas Bimbingan - Merujuk kepada kelas bimbingan yang dijalankan secara konvensional bagi pelajar PMR dan SPM.
|
2.2 | Program i-TR1M adalah merupakan satu
intervensi pendidikan yang dilaksanakan melalui kerjasama di antara
kerajaan melalui YGMB bersama-sama dengan pihak sekolah untuk memberi
peluang kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah
yang lemah atau terkebelakang dalam pelajaran. Program ini akan
melibatkan empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Metematik dan Sains di peringkat UPSR, PMR dan SPM secara
PERCUMA. |
2.3 | Program i-TR1M dijalankan melalui dua
kaedah iaitu kelas bimbingan bagi PMR dan SPM, manakala bagi UPSR
dikendalikan sepenuhnya secara online sahaja. Selain itu, program ini
turut menawarkan pembelajaran dan penilaian secara online bagi pelajar
SPM Sains Tulen iaitu mata pelajaran Biologi dan Matematik Tambahan.
Para pelajar yang mengikuti program ini boleh menggunakan kemudahan
internet sama ada di rumah dan di sekolah atau di pusat-pusat ICT
setempat seperti di Perpustakaan Desa, Medan Infodesa (MID) dan Pusat
Jalur Lebar Komuniti (PJLK). |
2.4 | Pendekatan kelas i-TR1M dijalankan
dalam bentuk kelas bimbingan yang dikendalikan secara berstruktur dan
terancang khusus dengan memberi fokus kepada persediaan menghadapi
peperiksaan melalui penguasaan pengetahuan dan kemahiran penting dalam
mata pelajaran yang diikuti. |
2.5 | Program i-TR1M ini disasarkan kepada
pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan dan akan menduduki
peperiksaan UPSR, PMR dan SPM dari kalangan keluarga yang berpendapatan
rendah meliputi semua kaum. |
2.6 | Pemilihan pelajar untuk mengikuti
program ini ditentukan sepenuhnya oleh pihak sekolah berdasarkan
kriteria pelajar yang telah dinyatakan. Memandangkan jumlah pelajar yang
dipilih agak terhad, maka pihak sekolah diberikan tanggungjawab untuk
menentukan pelajar yang benar-benar layak dipilih. |
2.7 | Kelas bimbingan i-TR1M akan
dikendalikan oleh guru-guru yang sedang berkhidmat dan pesara-pesara
guru yang berpengalaman dalam mata pelajaran tertentu. Penglibatan
mereka sebagai Guru Pembimbing dan dibantu oleh seorang Guru Penyelaras
akan mendapat bayaran mengikut kadar tetentu sebagai insentif ke atas
usaha mereka. Bayaran ini adalah merupakan pengiktirafan kepada
guru-guru yang telah sekian lama memberikan kelas tambahan atau tuisyen
kepada pelajar-pelajar mereka secara sukarela atau percuma tanpa
menuntut sebarang bayaran. |
2.8 | Pembelajaran secara online bagi pelajar
UPSR pula akan dikawalselia oleh seorang Guru Pemudahcara yang turut
menerima bayaran sebagai penghargaan di atas komitmen mereka. |
2.9 | Melalui program i-TR1M juga,
pelajar-pelajar akan mengikuti beberapa seminar atau bengkel peperiksaan
UPSR, PMR dan SPM sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Seminar
atau bengkel yang akan dijalankan akan turut memberi peluang kepada
sejumlah pelajar lain yang tidak terlibat dengan kelas bimbingan dan
pembelajaran secara online. |
2.10 | Bagi memastikan program i-TR1M
dilaksanakan dengan berkesan mengikut perancangan, dua konsultan atau
pengendali telah dilantik bagi melaksanakan program ini iaitu
Training.Com Asia Sdn Bhd (PMR dan SPM) dan UniCliq Sdn Bhd
(pembelajaran online bagi UPSR dan Sains Tulen SPM). Kedua-dua syarikat
ini telahpun menandatangani MOU dengan YGMB. |
2.11 | Kedua-dua pihak syarikat ini akan
sentiasa berhubung rapat dengan pihak sekolah dan guru-guru yang
terlibat bagi memastikan program ini berjalan mengikut perancangan dan
mencapai objektif yang telah ditetapkan. |
|
3 OBJEKTIF |
3.1 | Program i-TR1M adalah bertujuan untuk
memberi kelas bimbingan tambahan atau tuisyen kepada pelajar-pelajar
UPSR, PMR dan SPM dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi
membolehkan pelajar-pelajar berkenaan meningkatkan penguasaan
pengetahuan dan kemahiran penting dalam mata pelajaran yang diikuti di
samping membudayakan dan memperkasakan penggunaan ICT dalam pembelajaran
serta kehidupan seharian di kalangan pelajar terlibat.
|
3.2 | Program i-TR1M juga boleh menambahkan contact hour pelajar dengan guru. |
3.3 | Menambahkan keyakinan dan motivasi
pelajar untuk memperbaiki kelemahan mereka dan menguasai pengetahuan dan
kemahiran penting dalam mata pelajaran yang diikuti khususnya untuk
menghadapi peperiksaan. |
3.4 | Jurang pencapaian di antara pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan berada akan dapat dikurangkan. |
3.5 | Secara tidak langsung program i-TR1M
juga dapat membantu pihak sekolah dalam memberikan bimbingan tambahan
kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan yang lemah dan usaha ini
tentunya akan dapat meningkatkan lagi prestasi pencapaian akademik
sekolah. |
|
4 PELAKSANAAN |
4.1 | Pemilihan pelajar yang akan mengikuti
program i-TR1M akan dibuat oleh pihak sekolah berdasarkan latar belakang
keluarga yang berpendapatan rendah dan lemah dalam pelajaran. |
4.2 | Setiap pelajar yang terpilih telah
dikenalpasti lemah atau terkebelakang dan memerlukan bimbingan tambahan
dalam mana-mana mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik
dan Sains di peringkat UPSR, PMR dan SPM. |
4.3 | Bagi pelajar PMR dan SPM dibenarkan
untuk mengikuti lebih daripada satu mata pelajaran. Namun pihak sekolah
adalah digalakkan memilih seorang pelajar untuk mengikuti satu mata
pelajaran yang paling lemah. Kaedah ini diharap dapat memberi peluang
kepada lebih ramai pelajar untuk mengikuti program i-TR1M. |
4.4 | Berbeza dengan murid UPSR yang
dikendalikan sepenuhnya secara atas talian (online), setiap pelajar yang
terpilih akan berpeluang mengikuti semua mata pelajaran. |
4.5 | Murid-murid UPSR yang mengikuti
pembelajaran dan penilaian kendiri secara online menerusi portal yang
disediakan, bebas mengatur waktu belajar mereka sendiri selepas waktu
persekolahan. Program ini memberi kelebihan kepada murid-murid yang
memiliki kemudahan internet sendiri di rumah. Bagi murid-murid yang
tiada kemudahan internet di rumah, pihak sekolah perlu menentukan masa
yang sesuai untuk murid-murid mereka menggunakan kemudahan internet di
sekolah. Murid-murid juga dibenarkan menggunakan kemudahan internet di
pusat-pusat ICT setempat seperti di perpustakaan, Medan Infodesa (MID)
atau di Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJLK). |
4.6 | Setiap aktiviti pembelajaran secara
online akan dipantau oleh pentadbir sistem portal berkenaan dan turut
dibantu oleh Guru Pemudahcara. Semua aktiviti pelajar-pelajar ini semasa
online akan direkodkan oleh pentadbir sistem seperti tempoh masa yang
telah digunakan, sejauhmana setiap mata pelajaran yang telah diikuti,
peratusan keputusan ujian-ujian yang telah dibuat dan sebagainya. |
4.7 | Kelas bimbingan i-TR1M bagi pelajar PMR
dan SPM akan melibatkan guru-guru yang sedang berkhidmat dan juga
pesara-pesara guru yang berpengalaman. Pengetua sekolah akan
mengenalpasti guru-guru yang mahir dalam mata pelajaran tertentu untuk
dilantik sebagai Guru Pembimbing di samping seorang Guru Penyelaras yang
akan membantu hal ehwal pengurusan i-TR1M bagi setiap sekolah. |
4.8 | Setiap guru yang terpilih dalam program
i-TR1M adalah digalakkan untuk mengajar atau memberi bimbingan di
sekolah lain yang berhampiran di dalam daerah yang sama. Kaedah ini
diharapkan dapat meningkatkan lagi keberkesanan program i-TR1M
berbanding guru berkenaan mengajar di sekolah tempat mereka bertugas. |
4.9 | Melalui kelas bimbingan i-TR1M, sekolah
akan mengadakan kelas bimbingan untuk pelajar mereka sendiri. Guru
Pembimbing yang memberikan bimbingan akan ditentukan dengan budi bicara
Pengetua. Namun, pihak sekolah digalakkan agar mendapatkan khidmat guru
dari sekolah yang berlainan atau khidmat pesara guru. Oleh itu, murid
kekal di sekolah dan hanya guru sahaja yang bergerak serta pelajar
berpeluang menerima bimbingan dari guru sekolah lain. |
4.10 | Setiap Guru Pembimbing yang dilantik
dihadkan mengajar kelas bimbingan i-TR1M bagi satu mata pelajaran di
sebuah sekolah sahaja. Mereka akan diberikan bayaran mengikut jumlah jam
mengajar. |
4.11 | Guru Pembimbing i-TR1M hendaklah
bertanggungjawab melaksanakan kaedah bimbingan yang sesuai dengan tahap
keupayaan pelajar supaya mereka dapat menguasai pengetahuan dan
kemahiran penting dalam satu-satu mata pelajaran. |
4.12 | Perjalanan i-TR1M di sekolah akan
melibatkan kos operasi. Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran kelas
bimbingan akan disediakan oleh pihak yang dilantik oleh YGMB. Semua
bahan ini akan dihantar ke sekolah sebelum kelas bimbingan bermula. |
4.13 | Bagi kaedah pembelajaran secara online
pula, setiap pelajar terlibat akan diberikan dengan suatu kata laluan
dan panduan untuk belajar. Proses pembelajaran dapat dimulakan serta
merta apabila pelajar menerima kata laluan berkenaan. |
4.14 | Pelaksanaan i-TR1M oleh sekolah
memberikan Pengetua dan Guru Besar budi bicara dalam memutuskan dan
menyelaraskan tentang perkara-perkara berikut di sekolah masing-masing:
- pemilihan pelajar;
- pemilihan guru;
- jadual kelas bimbingan; dan
- menentukan sasaran kelas bimbingan yang hendak dicapai.
|
4.15 | Bagi menentukan i-TR1M dilaksanakan
dengan lancar dan berkesan di sekolah, pihak sekolah boleh menubuhkan
Jawatankuasa i-TR1M Sekolah bertujuan membantu Pengetua dan Guru Besar
merancang, melaksana dan memantau i-TR1M di sekolah. Jawatankuasa i-TR1M
Sekolah boleh dianggotai oleh guru-guru dan wakil PIBG. |
4.16 | Selain daripada pemantauan yang akan
dibuat oleh jawatankuasa di peringkat sekolah, pemantauan program i-TR1M
juga akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja i-TR1M yang terdiri
daripada pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Selangor dan YGMB. |
|
5 KHIDMAT BIMBINGAN |
5.1 | Kelas bimbingan i-TR1M bagi pelajar PMR
dan SPM hendaklah dijalankan di luar jadual waktu sekolah mengikut
jadual yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kerja i-TR1M. Namun,
pihak sekolah masih boleh mengubahsuai masa berkenaan mengikut budi
bicara Pengetua berdasarkan situasi semasa. Dalam menentukan jadual
waktu kelas bimbingan i-TR1M, beberapa faktor lain perlu diberi
pertimbangan misalnya kekurangan kelas dan pertindihan dengan kelas
tambahan sedia ada di sekolah berkenaan, aktiviti kokurikulum dan
sebagainya. |
5.2 | Bagi memastikan kelas bimbingan i-TR1M
dapat dilaksanakan dengan berkesan terutamanya untuk memulihkan
kelemahan pelajar dan mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran penting
setiap mata pelajaran, maka saiz kelas bimbingan hendaklah kecil dengan
bilangan pelajar dihadkan supaya tidak melebihi 30 orang. |
5.3 | Pelaksanaan program i-TR1M dengan model dan konsep yang tersendiri ini memberikan beberapa kelebihan yang meliputi:
- kelas bimbingan i-TR1M menggunakan kemudahan tuisyen sedia ada di sekolah-sekolah;
- guru yang mengajar lebih mengenali keperluan
pelajar itu sendiri dan dengan demikian boleh merekabentuk bimbingan
yang bersesuaian;
- program i-TR1M dapat dipantau sepenuhnya oleh pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri;
- pengurusan sekolah dapat mengadakan intervensi
lain seperti motivasi, kemahiran belajar dan kemahiran menjawab soalan
bagi memperkukuhkan program i-TR1M yang telah diberikan;
- keselamatan pelajar di kawasan sekolah lebih terjamin;
- PIBG berpeluang untuk memberikan khidmat dan
sumbangan yang boleh menambahkan keberkesanan kepada program i-TR1M
seperti menyediakan makanan bagi pelajar yang mengikuti kelas bimbingan
atau aktiviti yang menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak
masing-masing menghadiri kelas bimbingan;
- peluang untuk pelajar belajar dengan guru-guru dari sekolah lain atau pesara guru.
|
|
6 RUMUSAN |
6.1 | Program i-TR1M adalah merupakan satu
bentuk intervensi pendidikan yang disasarkan kepada pelajar dari
keluarga yang kurang berkemampuan dan lemah atau terkebelakang di dalam
pelajaran terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,
Matematik dan Sains di peringkat UPSR, PMR dan SPM. Pelajar-pelajar ini
dilihat perlu diberikan bimbingan tambahan untuk meningkatkan
pengupayaan mereka dalam pencapaian akademik khususnya untuk menghadapi
peperiksaan. |
6.2 | Pelaksanaan program i-TR1M adalah
berdasarkan kerjasama kerajaan melalui YGMB, sekolah dan ibu bapa
pelajar tersebut. Melalui intervensi ini adalah diharapkan supaya
peluang dan pencapaian di antara pelajar daripada keluarga yang kurang
berkemampuan dan pelajar daripada keluarga yang berada dapat
diseimbangkan. |
6.3 | Kaedah pembelajaran program i-TR1M yang
sebahagian besarnya adalah pembelajaran secara atas talian atau online
merupakan satu bentuk dimensi baru ke arah membudayakan penggunaan ICT
di kalangan pelajar. Usaha ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk
memperkasakan penggunaan NetBook 1Malaysia yang telah diberikan kepada
pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang terpilih. |
6.4 | Melalui program i-TR1M, kerajaan di
suatu pihak melalui YGMB telahpun memainkan peranannya. Setakat mana
program i-TR1M berjaya mencapai objektifnya bergantung kepada komitmen
dan kerjasama antara pihak sekolah, guru-guru yang dilantik dan ibu
bapa. |
|
7 JANGKAMASA |
Program i-TR1M dijalankan selama lebih kurang empat bulan iaitu mulai Jun 2013 dan dijangka akan berakhir pada September 2013 |
|
8 PELANCARAN |
Majlis Pelancaran Program i-TR1M telah
disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Jun 2012 di Seri Perdana,
Putrajaya bersama-sama dengan Sesi Sembang YAB Perdana Menteri Bersama
Profesor dan Profesor Madya IPTA Lembah Klang. |
|
9 SASARAN |
9.1 | Program i-TR1M dijalankan sebagai
projek rintis di Selangor sebelum dilaksanakan ke seluruh negara.
Program ini disasarkan boleh memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang
pelajar di Selangor yang terdiri daripada calon-calon UPSR, PMR dan SPM
2013. |
9.2 | Bagi mencapai sasaran ini, lebih 100
buah sekolah menengah dan rendah akan dipilih untuk menjalankan program
i-TR1M yang meliputi semua 10 Pejabat Pelajaran Daerah di Selangor.
Proses pemilihan sekolah dibuat dengan kerjasama Bahagian Pengurusan
Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan
Pelajaran Selangor. |
9.3 | Beberapa kriteria telah ditetapkan
dalam proses pemilihan sekolah-sekolah berkenaan. Antara kriteria yang
diambilkira ialah sekolah yang ramai pelajar, status bandar dan luar
bandar, sekolah yang memiliki pelajar pelbagai kaum, terdapat pelbagai
latarbelakang keluarga dan sebagainya. |